Pengurusan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) tampil menjelaskan sebab mereka melepaskan pemain sayap Bolivia, David Ribera.
Ribera dibawa masuk pada awal musim 2024/25 sebagai antara tonggak import untuk kempen Liga Malaysia (Liga M).
Walau bagaimanapun, pengurusan Kelantan DN kemudiannya memutuskan untuk melepaskan khidmat beliau, Valdumar Augusto Te dan Chadrack Muzungu. Keputusan ini dibuat sebelum tetingkap perpindahan kedua Liga M bermula pada 26 Ogos lalu.
Ini membuatkan ramai penyokong tertanya-tanya di media sosial mengapa khidmat pemain berusia 23 tahun itu tidak dikekalkan oleh pengurusan Kijang Emas.
Lantas, pengurusan pasukan memaklumkan khidmat Ribera tidak dikekalkan disebabkan oleh masalah kecergasan. Bekas pemain Royal Pari itu berusaha memberi yang terbaik tetapi tahap kecergasan menjadi penghalang buatnya.
“Kontrak dia sudah habis. Dia tak cergas, dia sudah berusaha tapi (tahap) kecergasan dia menghalang untuk lebih baik,” katanya di ruang komen Facebook pasukan itu.
Ribera telah membuat dua penampilan bersama Kijang Emas pada musim ini. Kali terakhir beliau turun beraksi ialah aksi menentang Penang FC pada 1 Ogos lalu.
Kelantan DN sudah mendapatkan lima pemain baru iaitu Hakimi Abdullah, Fikri Che Soh, Aung Kaung Mann, Muhaimin Izzudin dan Layth Kharoub.