Advertisements
Senarai 5 Tonggak Baharu Kelantan DN
Transfer
MakanBola
Kelantan Darul Naim FC

Tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 menyaksikan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menambah baik kualiti pasukan itu.

Usaha ini digerakkan pengurusan Kijang Emas bagi membolehkan pasukan itu dapat keluar dari kelompok tercorot liga. Ketika ini, Kelantan DN berada di tangga ke-13 dengan tiga mata daripada sembilan perlawanan.

Pasukan itu turut merekodkan bilangan jaringan terendah dalam liga dengan empat gol dan dibolosi sebanyak 19 kali.

Keadaan ini mendorong pengurusan Kelantan DN bertindak melepaskan khidmat tiga tonggak import iaitu Chadrack Muzungu, Valdumar Augusto Te dan David Ribera.

Selepas tetingkap perpindahan dibuka pada 26 Ogos lalu, Kijang Emas mula aktif mendapatkan pemain baru. Setakat ini, lima pemain baru sah menyertai pasukan.

Lima pemain tersebut ialah Layth Kharoub, Fikri Che Soh, Muhaimin Izuddin, Hakimi Abdullah dan Aung Kaung Mann. Fikri, Layth dan Kaung Mann menyertai Kelantan DN sebagai ejen bebas.

Manakala Muhaimin dan Hakimi pula masing-masing tiba menerusi perpindahan pinjaman dari Penang FC dan Terengganu FC.

Pengurusan Kijang Emas turut memaklumkan mereka kini dalam proses rundingan mendapatkan beberapa pemain lagi untuk memantapkan pasukan berkenaan.

“KDN FC telah merekrut empat pemain dan sedang melakukan perbincangan dengan dua atau tiga pemain lagi untuk diserap masuk.

“Dua perlawanan bulan September, Insya Allah semua pemain yang diambil pada perpindahan kedua telah bersedia untuk diturunkan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Kelantan bakal berdepan juara bertahan liga, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) untuk aksi liga seterusnya pada 22 September ini.