Advertisement
Kelayakan Piala Asia 2027: Harimau Malaya Dalam Balang 2, Thailand & Vietnam Balang 1
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Harimau Malaya bakal berdepan tugasan sukar untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.

Ini kerana berdasarkan kedudukan ranking terkini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia kini dalam Balang 2 cabutan undi pusingan ketiga kelayakan.

Penentuan kumpulan pusingan ketiga kelayakan ditentukan menerusi undian 24 pasukan yang dipecahkan dalam empat balang. Setiap balang diisi pasukan mengikut ranking FIFA terbaru mereka.

Dalam kes Malaysia, skuad negara yang menduduki ranking ke-132 berada bersama Turkmenistan (ranking ke-142), Filipina (ranking ke-148), Afghanistan (ranking ke-152), Yaman (ranking ke-155) dan Hong Kong (ranking ke-157).

Hal ini terjadi kerana kegagalan Malaysia meraih kutipan mata tambahan dalam aksi persahabatan antarabangsa dengan New Zealand di Auckland pada 14 Oktober lalu.

Kekalahan 4-0 di tangan All Whites menyebabkan skuad negara tidak dapat memintas India yang berada di Balang 1. Kekalahan itu menyebabkan Malaysia hanya mengumpul 1,113.92 mata.

Ini sama sekali berbeza dengan India yang berjaya mengikat Vietnam 1-1 pada 12 Oktober lalu. Kejayaan itu memastikan pasukan berkenaan mengumpul 1,133.79 mata.

Dengan jurang mata sebanyak 19.87 mata, sukar bagi Harimau Malaya untuk memintas India yang berada di Balang 1. Selain The Blue Tigers, Syria, Thailand, Vietnam, Tajikistan dan Lubnan turut berada dalam balang sama.

Skuad negara kini perlu memanfaatkan kalendar antarabangsa FIFA pada November ini untuk memperbaiki kedudukan ranking semasa mereka.

Singapura berada dalam Balang 3 bersama Chinese Taipei, Maldives, Myanmar, Nepal dan Bhutan. Manakala Brunei, Timor Leste, Sri Lanka, Pakistan, Laos dan Bangladesh pula dalam Balang 4.

Cabutan undi kumpulan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 19 Disember ini.

Juara bagi setiap enam kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia 2027 sekaligus menyertai 18 pasukan yang sudah layak termasuk tuan rumah, Arab Saudi.