Skuad B-23 Malaysia terpaksa bekerja keras sebelum berjaya meraih kemenangan ke atas Bangladesh dalam aksi pertama Kumpulan H Pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 hari ini.
Kedua-dua pasukan tahu kemenangan hari ini penting bagi menjamin pemburuan slot naib juara terbaik kumpulan kelayakan. Ini kerana selain juara kumpulan kelayakan, empat naib juara kumpulan terbaik juga berpeluang layak secara merit ke Piala Asia B-23 2024.
Babak pertama menyaksikan Malaysia dan Bangladesh bergelut mencipta peluang jaringan. Biarpun bola banyak dikuasai skuad negara, Harimau Muda sering dihampakan oleh barisan pertahanan Bengal Tigers diketuai kapten Yeasin Arafat.
Malaysia menyangka mendahului pada minit ke-42 menerusi penjaring terbanyak Piala AFF B-23 2023, Alif Ikmalrizal Anuar. Bagaimanapun, Harimau Muda hampa apabila gol itu dibatalkan selepas Alif didapati berada pada kedudukan ofsaid.
Bersambung pada babak kedua, Malaysia meningkatkan tempo permainan mereka. Peluang terbaik skuad negara hadir menerusi pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal pada minit ke-54 tetapi sepakannya dari luar kotak penalti hanya melepasi palang.
Dengan Malaysia masih buntu mencipta jaringan, jurulatih Harimau Muda, E. Elavarasan memasukkan duo Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Fergus Tierney dan Umar Hakeem Suhar Rezwan.
Penantian gol Harimau Muda berakhir juga apabila Alif Izwan Yuslan melepaskan rembatan jarak jauh pada minit ke-82. Tierney memastikan kemenangan Malaysia menerusi gol kedua pada minit akhir permainan.
Kemenangan ini meletakkan Malaysia sebagai pendahulu sementara Kumpulan H. Begitupun, kedudukan pendahulu dijangka berubah sekiranya Thailand mencipta kemenangan besar ke atas Filipina dalam satu lagi aksi kumpulan malam ini.