Australia melaungkan amaran kepada semua pencabar mereka dalam Kumpulan I dengan membelasah pasukan Asia Selatan, Bangladesh 7-0.
Dari segi ranking, Bangladesh dianggap pasukan bukan pilihan dengan ranking ke-183 berbanding Australia (ranking ke-27 dunia).
Perlawanan hari ini juga dianggap istimewa buat jurulatih Australia, Graham Arnold.
Apabila beliau berada di tepi padang hari ini, beliau memintas rekod Frank Farina sebagai jurulatih paling banyak membuat penampilan untuk The Socceroos dengan 59 penampilan.
Bek tengah Leicester City, Harry Souttar memulakan pesta gol Australia dengan gol pertama pada minit keempat. Brandon Borello menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-20.
Tonggak utama kelab Machida Zelvia, Mitchell Duke menyumbat dua gol pada minit ke-37 dan 40. Kedudukan 4-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Jamie Maclaren menyumbat gol kelima The Socceroos pada minit ke-48.
Maclaren kemudiannya meraih hatrik dengan menyempurnakan dua lagi gol pada minit ke-70 dan 84.
Massimo Luongo berpeluang menambah gol kelapan pada minit ke-90 tetapi penalti beliau berjaya dinafikan penjaga gol Bangladesh, Mitul Marma. Keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Pemain sayap St. Pauli, Connor Metcalfe dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.4 mata. Sementara Marma pula dipilih sebagai pemain terbaik Bangladesh dengan markah 7.7 mata.