Advertisements
Kelayakan Piala Dunia: Jepun ‘Bantai’ Myanmar
Piala Dunia
MakanBola
MFF

Pasukan gergasi Asia, Jepun memulakan kempen kelayakan Kumpulan B dengan bergaya apabila membelasah Myanmar 5-0 di Stadium Panasonic Suita.

Dengan Samurai Biru sebagai pasukan pilihan, skuad Chinthe yang dibimbing Michael Feichtenbeiner berharap tidak mengalami kekalahan besar di tempat lawan.

Bagaimanapun, harapan bekas pengendali Selangor FC itu punah apabila penyerang Feyenoord, Ayase Ueda meletakkan Jepun di depan pada minit ke-11.

Pemain tengah Lazio, Daichi Kamada menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-28. Ueda meletakkan Jepun makin selesa dengan gol ketiga pada minit akhir babak pertama.

Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat. Ueda kemudiannya mencipta hatrik dengan gol ketiga pada minit ke-50.

Dengan kemenangan berada dalam genggaman, jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu membuat beberapa pertukaran untuk mempertahankan kelebihan 4-0 mereka.

Beliau turut memberi peluang kepada Mao Hosoya (Kashiwa Reysol) dan Kaishu Sano (Kashima Antlers) untuk membuat kemunculan pertama bersama Jepun.

Myanmar membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat meraih gol saguhati dalam aksi pertama Kumpulan B.

Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, Jepun menambah jaringan kelima menerusi Ritsu Doan pada minit akhir perlawanan.

Keputusan 5-0 ini menyaksikan Samurai Biru menerajui Kumpulan B buat sementara waktu dengan tiga mata.

Bisa Ueda menyaksikan beliau diiktiraf sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan 9.5 mata.

Sementara bekas bintang Liverpool, Takumi Minamino pula mendapat 8.8 mata kerana mencipta dua bantuan gol untuk bekas penyerang Cercle Brugge itu.

Manakala penjaga gol Chinthe, Kyaw Zin Phyo pula diiktiraf sebagai pemain terbaik Myanmar dengan 7.8 mata.