Qatar terus dominan dalam Kumpulan A apabila mengatasi cabaran pasukan dari Asia Selatan, India dalam aksi kedua kumpulan hari ini.
Kedua-dua pasukan turun dengan motivasi yang tinggi selepas masing-masing meraih kemenangan dalam aksi pertama kumpulan.
The Maroons masih segar dengan kejayaan membelasah Afghanistan 8-1. Sementara The Blue Tigers pula berjaya mengejutkan Kuwait 1-0 pada minggu lepas.
Biarpun beraksi di gelanggang sendiri, India ketinggalan menerusi gol awal Mostafa Mashaal pada minit keempat.
Gol tersebut memberi keyakinan kepada anak-anak buah Carlos Quieroz untuk memburu gol tambahan. Bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, The Maroons terus meningkatkan tekanan ke atas anak-anak buah Igor Stimac itu.
Hasilnya, pasukan pelawat meraih gol kedua menerusi Almoez Ali pada minit ke-47 sekaligus mengukuhkan pendahuluan mereka.
India kemudiannya membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat mengubah momentum perlawanan.
Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, The Maroons menambah gol ketiga pada minit ke-86 menerusi Yusuf Abdurisag.
Gol tersebut sudah cukup untuk memperkukuh kedudukan Qatar sebagai peneraju Kumpulan A dengan enam mata.
Sementara India pula perlu berharap Kuwait tidak mencipta kemenangan ke atas Afghanistan dalam satu lagi aksi Kumpulan A yang berlangsung pada awal pagi ini.
Sofascore mengangkat bek tengah Qatar, Boualem Khoukhi sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8 mata.