Vietnam memulakan kempen Kumpulan F dengan kemenangan apabila menewaskan negara serantau Filipina di Stadium Memorial Rizal semalam.
Dengan tiga negara ASEAN dalam Kumpulan F iaitu Vietnam, Filipina dan Indonesia, kedua-dua pasukan tahu kemenangan penting bagi merebut slot kedudukan dua teratas kumpulan.
The Azkals yang diperkuat beberapa tonggak Liga Malaysia (Liga M) seperti Manuel Ott dan Patrick Reichelt ketinggalan pada minit ke-16.
Penyerang Nam Dinh, Nguyen Van Toan merentap semangat penyokong tuan rumah dengan menyumbat gol melepasi penjaga gol Birmingham City, Neil Etheridge. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Pahlawan Bintang Emas berusaha memberi tekanan ke atas pertahanan The Azkals untuk mencari gol tambahan.
Bagaimanapun, pertahanan Filipina diketuai bekas awang import Kelantan FC, Christian Rontini kental menyerap asakan pasukan pelawat.
Pada akhirnya, gawang Etheridge bocor juga apabila pemain gantian, Nguyen Dinh Bac menjaringkan gol kedua pada minit ke-94.
Keputusan ini memastikan Vietnam menduduki tangga kedua Kumpulan F di belakang Iraq yang segar daripada kejayaan membelasah Indonesia 5-1.