Jurulatih Sabah FC, Martin Stano mengakui resah dengan ketumpulan jentera serangan pasukan itu semasa menentang Sri Pahang FC.
Aksi terbaru Liga Super di Stadium Likas menyaksikan tuan rumah diikat 2-2. Sabah terlebih dahulu mendahului menerusi penalti Darren Lok pada minit ke-21.
Tiga minit selepas itu, Adam Nor Azlin mengikat kedudukan 1-1. Kpah Sherman kemudiannya meletakkan Sri Pahang di hadapan pada rehat separuh masa.
Sang Badak kemudiannya berjaya meraih satu mata menerusi penalti Darren pada minit ke-60. Ketumpulan jentera serangan pasukan itu meresahkan Stano.
Ini kerana Sang Badak memiliki banyak peluang untuk mendapatkan gol kemenangan. Malangnya, mereka gagal menyudahkan peluang yang terhidang.
“Ya, kita mencipta banyak peluang tetapi kita gagal menyudahkannya. Jadi, kita perlu atasinya,” katanya selepas perlawanan.
Selepas Sri Pahang, Sabah bakal berdepan KL City FC pula selepas ini. Tanpa kelibat Joao Pedro dan Gabriel Peres, Stano sedar beliau perlu menyelesaikan isu tersebut.
“Sudah tentu bahagian serangan. Kita perlu sudahkan peluang agar ia memberi kelebihan kepada kita, itu bahagian yang sukar,” tambahnya.
Sabah bakal menentang KL City di Stadium Likas pada 21 Februari ini.