Kelemahan Harimau Malaya dalam menghadapi situasi bola mati memeningkan pengendali pasukan itu, Pau Marti Vicente.
Aksi pertama Kumpulan A ASEAN Championship 2024 menyaksikan Malaysia diikat 2-2 oleh Kemboja di Stadium Olimpik Phnom Penh pada 8 Disember lalu.
Selepas meraih gol pendahuluan menerusi Stuart Wilkin, Malaysia ketinggalan dua gol menerusi Abdul Kader Coulibaly dan Sa Ty. Fergus Tierney memastikan Harimau Malaya meraih satu mata menerusi gol pada minit ke-74.
Apa yang meresahkan Pau Marti ialah gol kedua The Koupreys terhasil menerusi situasi bola mati. Ini kali kedua skuad negara dibolosi dalam situasi berkenaan.
Sebelum ini, Malaysia terlepas peluang mencipta kemenangan ke atas India di Stadium Gachibowli, Hyderabad pada November lalu. Selepas ketinggalan menerusi gol Paulo Josue, The Blue Tigers meraih gol penyamaan menerusi Rahul Bheke.
Pau Marti percaya gol yang dijaringkan Sa Ty itu memberi kelebihan kepada Kemboja. Pada masa sama, beliau juga gembira dengan semangat juang yang dipamerkan Harimau Malaya sehingga wisel penamat.
“Kedudukan kita dalam permainan agak teruk tetapi saya tak boleh merungut tentang cara kita berlawan, bagaimana pemain kita komited (mendapatkan mata) dalam perlawanan.
“Tetapi ya, sedikit mengecewakan. Selepas mendahului 1-0 dalam 15 minit, kita dibolosi dua gol. Kita melepaskan gol dalam situasi bola mati untuk dua perlawanan.
“Saya fikir ia (beri kelebihan) besar (kepada Kemboja). Tetapi secara keseluruhan, saya gembira sesetengah pemain mendapat penampilan pertama dan gol pertama,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Selepas ini, Malaysia akan mengalihkan fokus menentang Timor Leste untuk aksi seterusnya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember ini.