Sesi latihan pasukan Kedah Darul Aman (Kedah DA) minggu lalu turut disertai oleh beberapa pemain yang dikenali.
Pasukan Kedah DA bakal mewarnai saingan Liga A1 Semi Pro musim akan datang selepas permohonan Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super telah pun ditolak oleh Malaysian Football League (MFL).
Oleh itu, Kedah DA telah membuat keputusan untuk bermula dari Liga A1 Semi Pro semula bagi membina kembali pasukan dan perlahan-lahan beraksi hingga layak ke Liga Super suatu hari nanti.
Persiapan rapi tampak begitu rancak sedang dilakukan oleh pasukan yang dimiliki oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar ini apabila sesi latihan pertama sudah pun bermula pada Rabu lalu.
Beberapa pemain yang memiliki nama dan reputasi sebelum ini telah pun dikesan berada di padang MADA dan menjalani sesi latihan pasukan Kedah seperti bekas tonggak Sabah B-23, Amir Abada.
Sementara, makluman di laman Facebook Arena Hijau Kuning menyaksikan bekas penyerang PJ City, R. Kogileswaran turut kelihatan dalam aksi persahabatan antara Kedah DA vs Sang Kenari FC.
Selain itu, difahamkan juga kelibat pemain import dari Brazil, William Santos yang beraksi untuk Kasuka FC di Liga Brunei musim lalu turut berada sama bagi menyertai sesi pemilihan pasukan.
Sehingga kini tiada pengumuman rasmi dari pihak Kedah DA untuk merekrut pemain-pemain ini dengan sesi pemilihan ini turut dipantau rapi oleh Pemilik Kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.
Walau bagaimanapun, status jurulatih pasukan Kedah DA kini menjadi tanda tanya setelah pengendali terdahulu iaitu Victor Andrag kini membimbing satu lagi kelab, Kedah FA.