Negeri Kedah bakal mempunyai dua wakil yang bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26.
Selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sah beraksi dalam Liga A1, penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ingin tahu sama ada pasukan itu juga akan layak beraksi atau tidak.
Ini kerana sebelum ini, Amateur Football League (AFL) telah memberi kelulusan bersyarat kepada pasukan yang diberi jolokan Sang Kenari itu.
Susulan itu, mereka diberi tempoh 10 hari iaitu dari 6 hingga 15 Jun untuk menyelesaikan kriteria yang diperlukan.
Kini, AFL mengesahkan Kedah DA sah akan beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro. Perkara ini diumumkan Pengerusi AFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi.
Turut sama mendapat kelulusan penuh beraksi di liga tersebut ialah wakil Korea Selatan, FC Seoul Phoenix dan Guar Syed Alwi FC (GSA FC).
“Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Guar Syed Alwi (GSA FC) dan FC Seoul Phoenix (Korea Selatan) kini telah disahkan penyertaaan mereka di Liga A1 Semi-Pro 2025-2026,” katanya.
Selain itu, Yusoff turut mengesahkan UM-Damansara United akan beraksi di Liga A1 Semi-Pro. Ini selepas pasukan itu melengkapkan kriteria yang diperlukan untuk beraksi dalam liga berkenaan.
Ini menjadikan 16 pasukan akan bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro musim hadapan. Ini termasuk juara Piala MFL 2024/25, Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC).