Perak Sah Sertai Liga A1
MakanBola
Perak FA

Bekas juara Piala Malaysia 2018, Perak sah akan beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.

Perkara ini disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Dato’ Haji Mohd Azhar Jamaluddin selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sebelum ini, PAFA sudah menyatakan niat menyertai liga tersebut kepada Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi.

PAFA melihat langkah menyertai liga tersebut sebagai penting untuk membantu pemulihan bola sepak negeri berkenaan.

“Perak FA hari ini mengesahkan penyertaan rasmi dalam Liga A1 Semi-Pro, sebagai langkah penting dalam fasa kebangkitan , pemulihan dan pembangunan semula bola sepak negeri yang berdaya saing dan mampan,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Berita ini dilihat berita gembira buat penyokong Perak yang mahu melihat pasukan itu bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

PAFA turut menghargai sokongan Saarani dan kerajaan negeri Perak untuk membantu badan induk itu membina semula kegemilangan pasukan itu.

Pasukan ini dijangka bersaing dengan banyak pasukan hebat dalam Liga A1 Semi-Pro seperti Bunga Raya Damansara FC, Gombak FC dan Manjung City FC.