Perak Kembali Bernyawa?
MakanBola
Perak FC

Perak dilaporkan mendapat nafas baharu dalam arena bola sepak Malaysia musim hadapan.

Sebelum ini, pengurusan Perak FC mengumumkan telah menutup operasi pasukan itu serta-merta baru-baru ini.

Ini selepas pasukan itu sudah kehabisan dana untuk meneruskan operasi pasukan utara tanah air itu. Kini, fokus pengurusan The Bos Gaurus ialah menyelesaikan tunggakan yang ada sebaik mungkin.

Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) memaklumkan bakal membentuk satu pasukan baru bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro.

Hasrat ini dizahirkan PAFA menerusi satu kenyataan yang disiarkan di platform rasmi mereka hari ini. Pasukan baru ini akan dibentuk bagi menghadapi tiga kejohanan tahun 2026.

Tiga kejohanan yang menjadi fokus PAFA ialah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Piala Belia 2026 dan Piala Presiden 2026.

“Fokus utama kini ialah membentuk satu pasukan yang berdaya saing melalui skuad SUKMA Perak, yang bakal menjadi tunjang kebangkitan semula bola sepak Perak di pentas tempatan.

“Perancangan sedang giat dilakukan untuk menyertai liga anjuran AFL sebagai permulaan, selain persediaan jangka panjang menuju SUKMA 2026, Piala Presiden 2026 dan Piala Belia 2026,” kata PAFA dalam satu kenyataan.

PAFA turut menghargai sokongan kerajaan negeri Perak yang diterajui Menteri besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membantu pembangunan bola sepak negeri itu.