Kenyataan Rasmi Perak Buat Kali Terakhir
MakanBola
Perak FC

Perak FC mengeluarkan satu kenyataan rasmi buat kali terakhir kepada para penyokong.

Sebelum ini, pengurusan The Bos Gaurus memaklumkan pasukan itu akan menarik diri dari saingan Liga Super musim hadapan susulan isu luar padang termasuk tunggakan gaji.

Ini disusuli dengan pengumuman First Instance Board (FIB) bahawa Perak gagal mendapat Lesen Kebangsaan untuk musim 2025/26.

Kini, pengurusan The Bos Gaurus memaklumkan pasukan itu akan menghentikan semua operasi mereka berkuatkuasa serta-merta.

“Setelah tiga tahun atau dua setengah musim, dengan pelaburan melebihi RM40 juta, kami amat dukacita memaklumkan bahawa tiada lagi baki dana untuk diperuntukkan. Justeru, Perak FC akan menghentikan semua operasi berkuat kuasa serta-merta.

“Bagi menunaikan tanggungjawab, Perak FC telah menghantar pulang pemain-pemain import dan membayar apa yang termampu kepada staf-staf dan pemain-pemain dengan baki dana yang ada.

“Semua staf dan pemain telah dimaklumkan bahawa Perak FC tidak akan menyertai sebarang liga atau pertandingan pada musim akan datang. Dan para pemain dan jurulatih kini bebas untuk mencari peluang di kelab bola sepak yang lain,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengurusan Perak turut melafazkan penghargaan kepada penyokong kerana sentiasa bersama pasukan itu.

“Kepada Yob dan Yong, sokongan tanpa belah bahagi anda amat bermakna buat Perak FC. Kepada para pemain dan staf terima kasih di atas bakti dan dedikasi anda sepanjang bersama Perak FC.

“Ini bukanlah penutup yang kami harapkan, tetapi kami perlu berpijak di bumi yang nyata serta menerima kenyataan bahawa kekurangan dana telah membataskan segalanya dan sampai masanya kelab terpaksa ditutup,” tambahnya.

Perak turut memaklumkan pasukan itu sedang menguruskan penjualan baki cenderamata dan peralatan latihan pasukan serta menunggu dana yang dilepaskan oleh MFL.

Ini kerana kesemua dana ini akan digunakan untuk membantu pengurusan The Bos Gaurus menyelesaikan baki tunggakan sebaik mungkin.