Dua pasukan hebat, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Perak FC mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super musim hadapan.
Ini kerana permohonan Lesen Kebangsaan kedua-dua pasukan itu tidak mendapat kelulusan First Instance Body (FIB).
Meskipun begitu, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi memaklumkan Sang Kenari telah mengemukakan permohonan lesen untuk beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26.
Malah, Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi turut membuka pintu buat kedua-dua pasukan itu beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro.
“Kita tak nak bila pasukan jatuh, terus hilang,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
13 lagi pasukan mendapat Lesen Kebangsaan musim 2025/26 termasuk juara dan naib juara liga musim 2024/25, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
Daripada 13 pasukan, tiga daripadanya mendapat kelulusan lesen secara bersyarat. Tiga pasukan itu ialah KL City FC, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan PDRM FC.
Ketiga-tiga pasukan ini perlu menyerahkan maklumat kewangan tambahan kepada FIB menjelang 31 Mei ini. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, lesen mereka boleh ditarik balik.