Advertisements
Keluarga Glazers Bakal Jual Man Utd
Dunia
MakanBola
Sky Sports

Selepas 17 tahun bergelar pemilik Man Utd dan berdepan kecaman penyokong setia United, keluarga Glazers akhirnya bersetuju untuk menjual Red Devils. Sekiranya itu berlaku, mereka berharap dapat menjual kelab dengan nilai melebihi £5 bilion (RM27.2 bilion).

Keluarga Glazers menerusi pengerusi eksekutif bersama dan pengarah kelab Avram dan Joel Glazers mengeluarkan kenyataan berikut, “Tatkala kami berusaha untuk terus membina sejarah kejayaan kelab, lembaga pengarah telah membenarkan satu penilaian menyeluruh tentang semua pilihan yang strategik.

“Kami akan menilai semua pilihan bagi memastikan bahawa kami melayan para penyokong sebaik mungkin dan Manchester United akan memaksimumkan peluang pertumbuhan signifikan yang ada pada kelab untuk hari ini dan pada masa hadapan. Sepanjang proses ini berjalan, kami akan memastikan khidmat terbaik untuk para penyokong, pemegang-pemegang saham dan pelbagai pihak berkepentingan.”

Manchester United protests UtdPlug Keluarga Glazers Bakal Jual Man Utd
Keluarga Glazers berdepan tentangan penyokong sepanjang 17 tahun bergelar pemilik Red Devils. Gambar: UtdPlug

Sebelum ini, keluarga Glazers tidak menyatakan minat untuk menjual Man Utd walaupun berdepan tekanan daripada kumpulan-kumpulan penyokong Red Devils. Ini kerana mereka telah meraih untung yang banyak daripada kelab berkenaan walaupun Red Devils menanggung hutang sebanyak £500 juta (RM2.72 bilion).

Tetapi mereka kini terbuka dengan kemungkinan menjual kelab berkenaan selepas menyedari United memerlukan pelaburan baru untuk membiayai pembinaan semula Old Trafford dan pengubahsuaian pusat latihan kelab di Carrington. Kegagalan pembentukan Liga Super Eropah (ESL) membabitkan kelab-kelab gergasi Eropah dua musim lepas turut menyumbang kepada sebab keluarga Glazers menjual United.

Protes Pembentukan Liga Super Eropah @ThatsFootballTV Keluarga Glazers Bakal Jual Man Utd
Kegagalan pembentukan Liga Super Eropah (ESL) disebabkan protes penyokong termasuk penyokong United turut menyumbang kepada langkah penjualan dibuat keluarga Glazers. Gambar: @ThatsFootballTV

Pemerhati industri berpandangan keputusan ini turut didorong oleh ramalan ekonomi UK yang teruk. Ini ditambah pengumuman kerajaan UK beberapa minggu lepas bahawa negara itu kini berdepan krisis kemelesetan ekonomi. Ini turut menjelaskan mengapa pemilik Liverpool, Fenway Sports Group mengambil langkah sama beberapa minggu lepas.

Walaupun keluarga Glazers dijangka mensasarkan para pelabur AS sebagai bakal pembeli United, pengumuman ini dijangka menarik minat orang paling kaya di UK, Sir Jim Ratcliffe. Ratcliffe sememangnya diketahui umum sebagai penyokong tegar Red Devils dan beberapa kali menyatakan minat untuk mengambil alih kelab berkenaan.

Malah, hasrat sama turut dinyatakan selepas jutawan tersebut gagal mendapatkan Chelsea pada bulan Mei lepas. Semasa ditemubual media, jurucakap Ratcliffe berkata, “Sekiranya kelab (United) dinyatakan untuk dijual, Jim sudah pasti berminat sebagai pembeli berpotensi.” Ketika ini, pengasas syarikat INEOS itu memiliki dua kelab iaitu FC Lausanne-Sport (Switzerland) dan OGC Nice (Perancis).

Keluarga Glazers akan menggunakan khidmat perantara The Raine Group bagi mengatur penjualan United. Mereka bertanggungjawab menyelia urusan penjualan Chelsea kepada pemilik Blues sekarang, Todd Boehly dengan harga £4.25 bilion (RM23.46 bilion) pada Mei lepas. Dengan nilai jualan tersebut, keluarga Glazers berharap nilai sama atau lebih dapat dicapai untuk proses penjualan Red Devils.

Berita ini sudah pasti menambah keceriaan para penyokong Man Utd. Ini kerana pengumuman penjualan kelab dibuat selang beberapa jam selepas kelab dan legenda Portugal, Cristiano Ronaldo bersetuju menamatkan kontrak secara bersama tanpa melibatkan sebarang pampasan.

Selepas mengambil alih kelab pada 2005, keluarga Glazers menikmati era trofi semasa kelab dikendali oleh pengurus legenda Scotland, Sir Alex Ferguson. Ini termasuk kejayaan menjulang Liga Juara-Juara Eropah 2007/2008 dan EPL musim 2012/2013.

Tetapi selepas Ferguson dan CEO ketika itu David Gill mengumumkan persaraan pada 2013, United mula bergelut. Sehingga hari ini, Red Devils masih kempunan menjulang trofi EPL dengan pengurus-pengurus yang dibawa masuk gagal mengisi kelompangan yang ditinggalkan bekas pengurus Aberdeen itu. Hari ini, giliran Erik ten Hag pula yang diharap dapat mengembalikan kegemilangan United musim ini.

Related Articles