Meskipun kini mewarnai saingan Liga Super bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), nama Hong Wan terus tersemat dalam ingatan bek tengah West Ham United, Max Kilman.
Kilman, 27, cukup mengenali beliau kerana kedua-duanya pernah beraksi bersama Wolverhampton Wanderers dari 2019 hingga 2021.
Meskipun sempat beraksi dalam satu pasukan selama beberapa musim, kemahiran teknikal yang dimiliki pemain tengah itu cukup mengagumkan bekas kapten Wolves itu.
Kemahiran pemilik nama Nathaniel Shio Hong Wan itu terserlah apabila beliau diturunkan dalam aksi menentang skuad remaja Manchester City.
“Ya, dia cukup bagus dari segi kawalan bola. Saya masih ingat beliau beraksi menentang Manchester City dan ya, beliau melakukan satu tugas yang sangat bagus,” katanya bila ditemu bual wakil Stadium Astro, Adam Carruthers.
Selepas memilih menyertai JDT pada Jun 2021, Hong Wan langsung tidak menoleh ke belakang. Sejak itu, beliau membuat 81 penampilan, satu gol dan dua bantuan gol setakat ini.
Hong Wan turut membantu Harimau Selatan muncul juara Unifi Piala Malaysia, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.