Kemajuan negeri Johor dilihat sebagai kunci pencapaian Johor dalam pelbagai bidang sukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perkara ini dizahirkan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menerusi satu kenyataan ringkas di X. Ini kerana pada hemat baginda, pencapaian sukan negeri perlu seiring dengan kemajuan yang dinikmati Johor pada hari ini.
“(Pencapaian) institusi sukan Johor perlu seiring dengan pembangunan negeri,” katanya.
Tunku Ismail turut memuat naik empat foto pencapaian hebat pasukan dan figura yang membawa nama Johor dalam arena sukan negara dan antarabangsa.
Antaranya pencapaian empat trofi yang dilakar Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu. Johor Jewels pula ceria bergelar juara Netball Super League (NSL) Regional Cup 2026.
Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah bukan saja menggondol gelaran juara Asia Road Racing Championship (ARRC) untuk kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) 2025.
Malah, beliau kini menerajui carta keseluruhan ASB1000 untuk musim 2026 dengan enam kemenangan berturut-turut setakat ini.
Terbaru, skuad ragbi Johor menamatkan kemarau trofi Piala Agong selama sembilan tahun dengan meraih gelaran juara. Johor Motorsports Racing (JMR) pula mengunggguli kategori Pro-Am Perlumbaan Crowd Strike 24 Jam Spa di Spa-Francorchamps, Belgium.
Justeru, pandangan Tunku Ismail bahawa pencapaian sukan perlu seiring dengan kemajuan negeri dilihat ada benarnya. Ini kerana kemajuan negeri membuka ruang kepada lebih banyak pelaburan dan sokongan untuk sektor sukan negeri tampil lebih cemerlang.
Kecemerlangan sektor sukan bukan saja bakal mengharumkan nama negeri Johor tetapi juga Malaysia amnya.