Advertisements
“Kemasukan Bergson Agak Lambat” – Razman Roslan
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan berpandangan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) lewat memasukkan Bergson da Silva dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Aksi terbaru ACLE menyaksikan JDT tunduk 3-1 kepada kelab Korea Selatan, Gwangju FC di Stadium Yongin Mireu pada 22 Oktober lalu.

Dua gol Jasir Asani dan gol sendiri Park Jun-heong memastikan anak buah Lee Jung-hyo itu ceria pada akhir perlawanan. Manakala gol saguhati Harimau Selatan dijaringkan bek tengah Harimau Malaya, Feroz Baharudin.

Razman mengakui disebabkan tempo permainan yang laju dalam perlawanan, ini menyebabkan JDT berdepan kesukaran memasukkan pemain seperti Bergson, Jese Rodriguez dan Heberty Fernandes.

Ini kerana sebarang pertukaran pemain yang dibuat tatkala tempo permainan berjalan pantas boleh mengundang risiko kepada Harimau Selatan.

Pada masa sama, beliau merasakan sebarang pertukaran pemain yang dilakukan Hector Bidoglio patut dilakukan lebih awal. Ini kerana kehadiran pemain baru mampu memberi impak lebih besar pada separuh masa kedua perlawanan.

“Saya merasakan dengan keadaan tempo yang begitu laju, dari segi corak permainan menyerang kedua-dua pasukan, saya rasa agak lambat pemain seperti Bergson dimasukkan.

“Kalau dilihat pada minit ke-77, baru boleh dimasukkan. Tempo permainan menyebabkan agak sukar untuk pemain dari luar untuk masuk dan mendapatkan rentak itu.

“Tetapi kalau tanya pada saya, agak lambat sebab kita mahukan pemain yang lebih segar (dan) yang boleh memberikan impak pada separuh masa kedua,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Pandangan Razman turut dipersetujui bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali. Safee merasakan corak permainan menyerang yang digunakan Gwangju menyukarkan Bidoglio membuat pertukaran pemain.

“Untuk separuh masa kedua, momentum untuk memasukkan pemain itu agak berisiko. Tempo sangat tinggi, intensiti sangat laju sebab Gwangju banyak menyerang. Jadi, untuk menukar orang merupakan satu risiko yang sangat tinggi,” ujarnya.

Keputusan ini menyaksikan Gwangju menerajui Liga Timur ACLE dengan sembilan mata. Sementara JDT pula kini di tangga kelima dengan empat mata.

Kini, Harimau Selatan mengalihkan fokus untuk aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium MBPJ pada 27 Oktober ini.

Selangor dijangka bersemangat menghadapi cabaran JDT selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors.