Advertisement
Peringatan Awal Jasir Asani Buat JDT ‘Gigit Jari’
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Peringatan awal yang diberikan oleh pemain sayap Gwangju FC, Jasir Asani membuatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) gigit jari.

Skuad kendalian Hector Bidoglio merekodkan kekalahan pertama musim ini apabila tunduk kepada wakil Korea Selatan itu dengan keputusan 3-1.

Jaringan daripada tandukan Feroz Baharudin tidak cukup untuk membantu Harimau Selatan meraih 3 mata sekaligus merekodkan kekalahan pertama di AFC Champions League Elite (ACLE).

Peringatan awal bagaimanapun telah diberikan oleh pemain sayap sensasi Albania, Jasir Asani yang menzahirkan keyakinan bahawa Gwangju bakal menyukarkan misi JDT.

Pemain berusia 29 tahun itu memaklumkan bahawa rakan sepasukannya bekerja keras dalam sesi latihan dan bersedia untuk menghukum JDT.

“Dalam sesi latihan lepas, kami memberi tumpuan untuk memperbaiki keadaan kami. Kami bersedia dengan keazaman untuk memenangi perlawanan menentang Johor tanpa syarat.

“Apa yang penting adalah sejauh mana kami menunjukkan kepada anda apa yang telah kami siapkan. Jika kalian menonton perlawanan kami, Johor (JDT) yang patut risau,” luah Jasir Asani penuh yakin.

Keyakinan itu bertukar realiti apabila beliau menjadi watak penting apabila mencatatkan dua jaringan dan satu bantuan jaringan berdepan skuad Harimau Selatan.

Gwangju kini mendahului carta kumpulan dengan 9 mata sementara JDT di tangga ketiga dengan 4 mata selepas tiga perlawanan.