Kemboja berpotensi beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Ini selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan penggantungan Persekutuan Bola Sepak Pakistan (PFF).
Keputusan tersebut dibuat selepas PFF gagal membuat semakan pada perlembagaan badan induk itu bagi memastikan proses pemilihan yang diadakan bersifat telus dan adil.
Kegagalan PFF berbuat demikian menyebabkan mereka gagal memenuhi syarat wajib yang ditetapkan FIFA sebagai sebahagian daripada proses normalisasi badan induk itu.
Penggantungan hanya akan ditarik balik sekiranya Kongres PFF meluluskan versi perlembagaan yang diserahkan kepada FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Sekiranya PFF gagal menyelesaikan isu ini dengan segera, ini boleh menyebabkan skuad Pakistan tidak boleh beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Pakistan berada Kumpulan E bersama Syria, Myanmar dan negara jiran mereka, Afghanistan. Sekiranya situasi itu berlaku, ASEAN Football melaporkan Kemboja bakal mengambil alih kedudukan mereka dalam kumpulan.
Kemboja gagal layak ke pusingan ketiga kelayakan selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti dengan Sri Lanka dalam pusingan play-off.
Seandainya situasi ini menjadi kenyataan, ini memberi peluang kepada anak buah Koji Gyotoku untuk merebut slot Piala Asia 2027 dalam pusingan ketiga kelayakan.