Pertarungan dua pemain utama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor, Arif Aiman dan Faisal Halim bakal menjadi tumpuan tidak lama lagi.
Dua pasukan ini bakal bertemu di Stadium Sultan Ibrahim bagi saingan Piala FA untuk menempah slot ke pentas akhir.
Mereka kini berada pada kemuncak prestasi apabila tampil cemerlang bersama skuad kebangsaan baru-baru ini.
Arif dan Faisal menjadi watak penting buat pasukan kendalian Kim Pan-gon apabila meledak gol-gol penting buat skuad kebangsaan.
Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu menjaringkan 5 gol termasuklah 4 gol berdepan Papua New Guinea.
Faisal yang juga kapten pasukan kebangsaan menjadi perancang kreatif buat skuad negara apabila menjaringkan satu gol dan beberapa bantuan gol.
Berdasarkan rekod dalam saingan Liga Super, Arif Aiman sudah pun menjaringkan 5 gol dan mencatat 9 bantuan gol iaitu jumlah paling tinggi antara pemain JDT.
Sementara itu, Faisal juga tidak kurang hebatnya apabila menjadi pemain tempatan paling menyerlah bersama The Red Giants.
Pemain berusia 25 tahun itu sudah pun meledak 7 gol dan 6 bantuan gol setakat 14 penampilan liga musim ini.
Kedua-dua pemain kreatif ini dijangka terus menjadi taruhan pasukan masing-masing bagi memacu cabaran pasukan sambil kudrat pemain import pasukan turut memainkan watak penting.
Selangor yang berkunjung ke tempat lawan sudah pasti tidak mahu mengendurkan serangan ke atas juara bertahan itu sambil JDT mahu memanfaatkan rekod kebal di laman sendiri.
Anak buah Tan Cheng Hoe sudah pasti mahu memadam episod hitam apabila tewas 4-0 di laman sendiri tempoh hari dan berpeluang mara ke pentas akhir sekali lagi.