Penganalisis sukan tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim menggesa pemegang taruh bola sepak tempatan supaya tidak terus memandang kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai satu ancaman.
Sebaliknya, beliau menekankan bahawa kejayaan kelab itu harus dijadikan contoh dalam membina sistem pengurusan yang lebih profesional dan mampan.
Menurutnya, sikap cemburu terhadap kejayaan JDT tidak akan membantu kemajuan bola sepak negara yang kini memerlukan perubahan menyeluruh.
“Kelab-kelab di Malaysia boleh belajar dengan kelab yang berjaya seperti JDT yang kini sudah mula memberi saingan yang baik dengan kelab-kelab besar di Asia,” katanya.
“Kenapa lihat JDT sebagai ancaman sedangkan kita sepatutnya boleh belajar cara pengurusan kelab dan berusaha untuk menjadi lebih baik dan bukannya mahu menarik diri,” tambahnya.
Zulakbal turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang terus menyalahkan sistem apabila kelab gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan daripada MFL.
Jelasnya, kegagalan mendapatkan lesen berpunca daripada kelemahan kelab itu sendiri dalam memenuhi kriteria yang ditetapkan, bukan kerana ditindas oleh sistem.
“Kriteria yang ditetapkan seperti kewangan, pentadbiran, fasiliti adalah sama atau lebih kurang sama dengan liga luar negara,” ujarnya.
Beliau mengingatkan bahawa tanpa perubahan sikap dan kesungguhan untuk belajar, bola sepak Malaysia akan terus ketinggalan di peringkat serantau.