Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengeluarkan satu kenyataan rasmi tentang isu badan induk itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum ini, beberapa media melaporkan BAM disiasat oleh SPRM atas dakwaan wujud penyelewengan dalam badan berkenaan.
Isu ini turut mendorong Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta ruang diberi buat SPRM untuk menjalankan tugas mereka. Ini bagi memastikan keadilan buat semua pihak terutama BAM.
Sehubungan dengan itu, BAM mengesahkan kehadiran pegawai SPRM ke pejabat badan induk itu baru-baru ini.
“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang ke pejabat pada minggu lepas untuk meminta maklumat tertentu.
“BAM memberi kerjasama penuh sepanjang lawatan itu dan pegawai-pegawai telah menjalankan tugas mereka dengan penuh profesional,” kata BAM dalam satu kenyataan.
Isu ini tidak mengganggu fokus BAM untuk persiapan tahun 2025 terutama saingan Petronas Malaysia Open 2025 yang berlangsung pada Januari 2025.
Badan induk itu turut memantapkan barisan kejurulatihan perseorangan negara dengan melantik Kenneth Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan.