Pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman mempunyai pilihan bagi menentukan keputusan mengenai masa hadapan beliau.
Terdahulu, nama Arif Aiman menjadi salah satu topik hangat apabila terdapat khabar angin tonggak berusia 23 tahun ini dikaitkan dengan kelab daripada Iran dan juga Korea Selatan.
Berita tersebut telah pun mendapat reaksi Pemilik Kelab JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menjelaskan bahawa keputusan untuk berpindah terletak di tangan pemain itu.
Tambah Baginda lagi, pihak kelab tidak memaksa Arif Aiman atau pun pemain lain bagi terus kekal di pasukan sebaliknya sentiasa terbuka untuk mereka berada bersama menyarung jersi Harimau Selatan.
“Itu (perpindahan keluar) terpulang kepada Arif Aiman, bukan kami (JDT),” jawab DYAM Tunku Mahkota Ismail ketika sesi soal jawab bersama peminat Rabu lalu.
“Jika Arif Aiman mahu keluar, silakan tetapi jika beliau mahu kekal, beliau boleh kekal.”
Baginda melihat Arif Aiman ketika ini tampak gembira berada di JDT kerana berpeluang memenangi kejuaraan dan beraksi di pentas Asia berbanding bersama pasukan pertengahan di luar negara.
“Keputusan itu terpulang di tangan pemain, saya tak pernah paksa mana-mana pemain untuk kekal tapi saya rasa beliau (Arif Aiman) gembira di sini (JDT),” tambah Baginda lagi.
”Kerana di sini bukan sahaja ada peluang cerah bagi menang kejohanan tapi juga berpeluang menyertai pentas tertinggi di Asia iaitu AFC Champions League Elite (ACLE).”
”Tetapi sekiranya kamu pergi ke kelab lain iaitu pasukan di pertengahan di luar negara, kami tak boleh bermain ACLE,” kata Baginda.
Fokus Arif Aiman dan JDT kini terarah kepada saingan Liga Super apabila bakal menentang Penang pada Ahad setelah skuad Harimau Selatan ini akur tersingkir dari saingan ACLE.
Malah, JDT kini hanya selangkah bagi mempertahan gelaran juara Piala Malaysia apabila bakal berdepan Sri Pahang pada 12 April ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.