Keraian gol melampau Aymen Hussein telah menyebabkan negaranya Iraq disingkirkan Jordan pada minit akhir perlawanan.
Penyerang tersebut menjaringkan gol kedua pada minit ke-76 dan meletakkan Iraq dihadapan Jordan dengan jaringan 2-1 pada waktu itu namun semuanya berubah setelah Aymen Hussein melakukan keraian gol aneh beliau.
Aymen Hussein meraikan gol dengan perbuatan makan sambil bersila dan dengan segera pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kepadanya.
Penyerang yang telah meraih kad kuning pertama pada hujung babak pertama akhirnya dilayangkan kad merah sekali gus memaksa Iraq bermain dengan 10 pemain memasuki minit ke-80 permainan.
Jordan kemudian memanfaatkan situasi tersebut apabila menjaringkan dua gol pada masa tambahan babak kedua hasil jaringan Yazan Al-Arab dan Nizar Al-Rashdan.
Layangan kad kuning kedua yang menyumbang kepada kad merah Aymen Hussein menyebabkan tanda tanya kepada penyokong dan penonton perlawanan berkenaan.
Pengulas berpendapat keraian gol Aymen melampau kerana beliau telah berlari keluar padang bersama rakan sepasukan dan kemudian melakukan sekali lagi keraian gol tersebut.
Namun terdapat warga maya yang membandingkan masa keraian Aymen Hussein yang hanya memakan masa 1 minit 16 saat berbanding pemain Jordan, Yazan Al-Naimat yang memakan masa 1 minit 30 saat.
Terdapat juga pihak yang mendakwa keraian gol Aymen Hussein dilihat provokatif kerana meniru keraian gol pertama Jordan lalu menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning.
Namun sebahagian media bola sepak Iraq berpendapat kad kuning itu tidak wajar dan pengadil melakukan keputusan yang melulu.
Gol daripada Aymen Hussein yang disangka bakal membantu Iraq ke suku akhir akhirnya menjadi punca pasukan tersebut tersingkir hasil kebangkitan lewat permainan oleh Jordan ekoran keraian gol melampau pemain Iraq tersebut.