Kerajaan Negeri Buka Tabung Bantu Selangor
MakanBola
Selangor FC
Sponsors

Kerajaan negeri Selangor menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah melancarkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC.

Kempen yang bermula dari 26 Jun hingga 2 Julai itu diumumkan oleh EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi.

Ad

Pada 25 Jun lalu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menjatuhkan hukuman ke atas Selangor selepas menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih pada bulan Mei lepas.

Ad

Selangor bukan saja dikenakan denda RM100,000, potongan tiga mata dan perlu membayar kos ganti rugi yang ditanggung MFL dan tuan rumah perlawanan, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).

Malah, Merah Kuning juga terpaksa beraksi tanpa penonton untuk aksi Liga Super minggu ke-14 membabitkan JDT di Stadium MBPJ.

Ad

Sebaik saja pengumuman hukuman itu dibuat, ramai pihak terutama penyokong Selangor meluahkan rasa tidak puas hati kerana menganggap hukuman tersebut sebagai terlalu berat.

Ad

Hukuman tersebut turut menyebabkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyuarakan kekecewaan kepada MFL.

Ad

Najwan memaklumkan inisiatif ini dilancarkan bagi membantu meringankan beban Selangor selepas dikenakan hukuman oleh MFL.

Mana-mana individu termasuk penyokong Selangor boleh menyumbang pada kadar serendah RM1.00 sebagai tanda solidariti bersama pasukan itu.

“Susulan daripada keputusan tidak adil dan bersifat penindasan yang dijatuhkan oleh Malaysian Football League (MFL) kepada Selangor FC semalam, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) akan melancarkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bermula pada malam ini sehingga 2 Julai 2024.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan ruang kepada semua rakyat Malaysia dan para peminat sukan bola sepak merentasi batas kenegerian untuk menzahirkan dukungan kepada Selangor FC dengan sumbangan kecil RM1 kepada Tabung Solidariti Bersama Selangor FC,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Najwan turut memaklumkan selepas tarikh 2 Julai 2024, wang tabung berkenaan akan disalurkan kepada pengurusan Merah Kuning untuk membantu kes mereka.

“Hasil dari sumbangan ini kemudiannya akan diserahkan kepada pihak Selangor FC bagi membantu mereka memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat tertinggi terhadap hukuman melampau yang telah dijatuhkan oleh MFL,” ujarnya.

Selangor memiliki tempoh empat hari untuk memfailkan rayuan kepada MFL berkenaan semua hukuman yang dinyatakan.