Dua kelab Singapura dikenakan denda sebanyak AS$2,000 (RM6,300) oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) kerana isu membabitkan bekas jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi.
The Straits Times melaporkan isu ini timbul apabila Kinoshi dilihat berada di kawasan teknikal Tampines Rovers dalam aksi Singapore Premier League (SPL) menentang Tanjong Pagar United pada 16 Mac lalu.
Jurulatih Jepun berusia 61 tahun itu dilihat memberi maklumat kepada jurulatih interim The Stags ketika itu, Robert Eziakor.
Perlawanan tersebut menyaksikan Tampines Rovers meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Tanjong Pagar United di Stadium Jurong East.
Susulan itu, FAS mengesahkan kedua-dua kelab telah dikenakan denda. Hukuman itu dibuat atas kesalahan kehadiran individu yang tidak dibenarkan di kawasan teknikal semasa perlawanan SPL berlangsung.
Mengikut peraturan SPL musim 2025/26, hanya individu yang disenaraikan dalam senarai pasukan rasmi saja yang dibenarkan berada di kawasan teknikal.
Atas sebab itu, The Stags dikenakan denda AS$2,000 (RM6,300). Tanjong Pagar United juga dikenakan hukuman sama kerana bertanggungjawab mengawal akses ke kawasan rasmi mengikut peraturan SPL.
Kinoshi kemudiannya dilantik sebagai jurulatih tetap Tampines Rovers pada 3 April lalu. Era beliau bermula dengan kekalahan apabila tewas 3-2 kepada Albirex Niigata sehari selepas itu.