Kebimbangan Lubnan bila berdepan Malaysia di pentas final Pestabola Merdeka 2024 akhirnya menjadi kenyataan.
Sebelum ini, pengendali The Cedars, Miodrag Radulovic menyifatkan skuad negara kali ini berbeza daripada skuad yang dihadapinya pada 2018.
Telahan tersebut dibuat berdasarkan pengalamannya membimbing Lubnan mengalahkan Malaysia dalam aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2019.
Ini kerana Harimau Malaya kali ini memiliki beberapa tonggak naturalisasi seperti Paulo Josue, Romel Morales dan Endrick dos Santos. Beliau percaya kehadiran pemain-pemain ini menjadikan Malaysia lawan sukar buat pasukan Asia Barat itu.
“Dengan beberapa pemain naturalisasi, mereka kelihatan bagus dan kuat. Mereka memiliki kualiti dari segi individu yang menarik. Ini akan menjadikan aksi esok (aksi final pada 8 September) satu aksi yang sukar,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan pada 7 September lalu.
Ternyata telahan Radulovic tentang kekuatan skuad negara menjadi realiti. Meskipun berstatus pasukan ke-134 dunia, itu bukan halangan buat Harimau Malaya menyaingi The Cedars di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Malah, pasukan yang dibimbing Pau Marti Vicente itu meraih jaringan kemenangan menerusi Morales. Gol itu terhasil daripada hantaran Endrick sebelum mudah disempurnakan penyerang berusia 27 tahun itu.
Kemenangan ini bukan saja menyaksikan Malaysia mengakhiri kemarau 11 tahun bergelar juara Pestabola Merdeka. Kemenangan ini juga memastikan Harimau Malaya memintas negara jiran, Indonesia dengan menduduki ranking ke-131 dunia.
Selepas tamat perlawanan, Radulovic mengakui apa yang dibimbanginya itu menjadi kenyataan dalam perlawanan tersebut. Dan beliau percaya kualiti skuad negara kini berada pada tahap terbaik.
”Perbezaan yang sangat ketara dengan Malaysia dahulu terutamanya dengan 7-8 pemain asing. Mereka (Harimau Malaya) memiliki kualiti yang hebat dan mereka kini adalah pasukan terbaik,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan di SNBJ.
Skuad negara dijangka semakin kuat dengan kehadiran beberapa pemain baru seperti Wan Kuzain Wan Kamal dan Mats Deijl.