Jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic memuji perubahan kualiti yang dimiliki skuad Harimau Malaya setelah tumpas dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka pada Ahad.
Dalam aksi tersebut, jaringan tunggal daripada penyerang, Romel Morales pada minit ke-33 memastikan kejuaraan Pestabola Merdeka edisi 2024 menjadi milik Malaysia buat kali ke-13.
Menurut Radulovic, kedatangan Lubnan ke kejohanan ini dengan misi untuk muncul juara namun akur meraih naib johan meski ada beberapa insiden yang tidak jelas dalam aksi ini.
”Kami datang ke kejohanan ini bagi mendapatkan tempat pertama, ada beberapa situasi yang tidak jelas tapi tidak mengapa, ini sering berlaku dalam bola sepak,” komennya ketika di sesi sidang media.
Tambah Radulovic lagi, skuad kebangsaan kini mengalami perubahan drastik berbanding dahulu dengan tambahan pemain kacukan dan asing yang menambah kualiti pasukan.
”Perbezaan yang sangat ketara dengan Malaysia dahulu terutamanya dengan 7-8 pemain asing. Mereka (Harimau Malaya) memiliki kualiti yang hebat dan mereka kini adalah pasukan terbaik.”
Kemenangan ini membolehkan Malaysia meraih tambahan +5.68 mata bagi mengumpul 1117.68 mata dan membantu skuad negara melonjak 3 anak tangga ke kedudukan 131 dunia.