Jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic dikesan telah ‘naik hantu’ selepas melihat pasukannya terpaksa beraksi 10 pemain susulan seorang pemainnya dibuang padang.
Insiden yang berlaku pada minit ke-80 itu memaksa pengadil keempat menenangkan beliau daripada terus melontarkan amarah kepada barisan kejurulatihan Malaysia.
Lubnan yang ketinggalan 0-1 terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemainnya, Khalil Khamis diperintahkan keluar padang gara-gara menerima kad kuning kedua.
Sebelum insiden layangan kad merah tersebut, Akhyar memberi signal seperti mahu mengeluarkan bola daripada permainan selepas pemain Malaysia mengalami kecederaan. Namun permainan diteruskan sebelum Arif Aiman diterjah Khalil Khamis.
Disebabkan insiden tersebut, Radulovic mula hilang sabar dan melontarkan amarahnya kepada ketua jurulatih Malaysia, Pau Marti Vicente.
Radulovic tidak bertindak seorang diri dengan hampir semua staf dan pemain di bangku simpanan turut meluahkan rasa tidak puas hati.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan buat Malaysia selepas menewaskan Lubnan 1-0 hasil jaringan tunggal Romel Morales.