Setelah setahun berlalu, kes simbahan asid membabitkan pemain sayap Selangor dan Harimau Malaya, Faisal Halim diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
Pada 5 Mei 2024, Malaysia digemparkan dengan berita tragis apabila pemain bola sepak negara, Faisal Halim diserang dan disimbah asid di sebuah pusat membeli belah di ibu negara.
Tindakan terkutuk oleh individu yang tidak dikenali itu telah menyebabian karier Faisal Halim hampir tamat apabila beliau terpaksa melalui beberapa siri pembedahan di hospital.
Dalam sesi sidang media pada Khamis, peguam Faisal Halim menyatakan bahawa kes ini telah diklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ setelah menerima satu surat makluman daripada Jabatan Peguam Negara.
”Walau bagaimanapun, kami telah menerima satu surat daripada Jabatan Peguam Negara, di mana pihak kami dimaklumkan bahawa kes ini sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (No Further Action),” kata peguam menurut laporan video wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Malah surat tersebut juga memberitahu bahawa usaha bagi menjejaki dalang di sebalik kes ini tidak membuahkan hasil sekaligus membuatkan pihak peguam dan Faisal Halim kecewa.
”Surat itu juga memaklumkan pihak PDRM tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu sebagai suspek.”
”Segala usaha yang telah dijalankan bagi tujuan tersebut tidak membuahkan hasil,” tambah peguam itu lagi.
”Ternyata anak buah kami (Faisal Halim) berasa kecewa dengan hasil siasatan.”