Pengendali Thailand, Masatada Ishii mengakui kesilapan mudah di bahagian pertahanan menyebabkan pasukan itu tewas dalam aksi final pertama ASEAN Championship 2024.
Vietnam meraih kelebihan dua gol menerusi penyerang naturalisasi baharu mereka, Nguyen Xuan Son. Dua gol tersebut turut menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol.
Thailand mencuri bekalan satu gol untuk aksi final kedua di Stadium Rajamangala menerusi Chalermsak Aukkee. Ini kekalahan pertama Gajah Perang di Vietnam sejak tahun 1998.
Ishii mengakui kesilapan pertahanan Thailand membuka ruang buat Xuan Son menyumbat dua gol dalam aksi itu.
“Pemain nombor 12 pasukan Vietnam (Nguyen Xuan Son) ialah seorang penyerang yang bagus,” katanya seperti dilaporkan TheThao247.
“Tetapi beliau tidak akan dapat menjaringkan gol seperti hari ini jika pemain-pemain saya tidak melakukan beberapa kesilapan.”
Ishii turut memaklumkan beliau tidak memandang rekod yang dilakar Vietnam dalam aksi berkenaan. Ini kerana keutamaannya ialah bersedia untuk aksi final kedua.
“Saya dengar Thailand tewas kepada Filipina buat kali pertama dalam 52 tahun atau kalah kepada Vietnam buat kali pertama dalam 27 tahun,” tambahnya.
“Saya hanya fikir pasal penambahbaikan (pasukan menjelang aksi final kedua), bukan data seperti itu.”
Thailand berharap dapat bangkit dalam aksi final kedua ASEAN Championship 2024 yang akan berlangsung pada 5 Januari ini.