Vietnam tampil cemerlang dengan menewaskan Thailand dalam aksi final pertama ASEAN Mitsubishi Electric Cup 2024 pada Khamis.
Setelah dipaksa bekerja-keras untuk layak ke final, Thailand hadir ke Viet Tri dengan misi mencari bekalan selesa begitu juga Vietnam yang masih belum tewas sepanjang edisi kali ini.
Jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik menurunkan barisan terbaik dengan Xuan Son menjadi sandaran utama manakala Patrik Gustavsson dan Ekanit Panya mengetuai serangan Thailand.
Turun dengan berjersi serba merah, Vietnam memulakan aksi dengan cukup garang apabila percubaan deras Nguyen Xuan Son seawal minit ke-3 diselamatkan oleh Patiwat Khammai di pintu gol Thailand.
Thailand berusaha merencana serangan dengan beberapa siri gerakan Patrik Gustavsson sebelum dipatahkan barisan pertahanan Vietnam yang tampil cemerlang dan kebal di babak pertama.
Separuh masa pertama tamat, Vietnam 0-0 Thailand.
Kembali dari rehat, Sang-sik mula serius mengatur strategi terbaik untuk memburu jaringan dengan membawa masuk ayam tambatan, Nguyen Quang Hai bagi menambah bisa serangan.
Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai setelah satu jam beraksi apabila Xuan Son meledak gol pertama perlawanan menerusi tandukan jarak dekat yang akhirnya menewaskan Khammai.
Gawang Thailand terus dibolosi dengan Xuan Son sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila mencetak gol kedua buat Vietnam pada minit ke-73 permainan hasil satu gerakan solo menarik.
Pelawat kembali merapatkan kedudukan di penghujung aksi menerusi tandukan Chalermsak Aukkee yang menewaskan Nguyen Dinh Trieu bagi memberikan harapan buat Thailand.
Aksi di Stadium Wilayah Phu Tao berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Vietnam.
Perlawanan timbal balik bakal berlangsung pada Ahad, 5 Januari di Stadium Rajamangala, Bangkok dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.