Corak permainan dan filosofi yang diterapkan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menjadi panduan dan teras buat skuad bawah 23 tahun negara.
Pasukan muda negara kini dibimbing Juan Torres Garrido setelah mengambil peranan daripada jurulatih sebelum ini, E. Elavarasan yang kembali membantu Kim Pan-gon di skuad senior.
Menurut pertahanan skuad bawah 23 tahun negara, Ahmad Zikri Khalili, bermain di bawah kendalian E. Elavarasan sebelum ini dan Juan Torres memberi pengalaman berbeza buatnya memandangkan kedua-dua jurulatih mempunyai pendekatan tersendiri.
”Untuk saya sendiri, saya rasa pendekatan coach Ela (Elavarasan) lain, pendekatan coach Juan (Torres) pun lain. Jadi sebagai pemain, kami perlu cepat untuk mengadaptasi antara situasi-situasi itu,” katanya kepada pihak media.
Dari segi taktikal pasukan, beliau berkongsi bahawa filosofi yang digunapakai oleh skuad senior bimbingan Kim Pan-gon menjadi panduan buat skuad bawah 23 tahun dan mereka perlu segera belajar untuk
”Dari segi taktikal, saya rasa tak banyak pun berbeza (antara Elavarasan dan Juan Torres) sebab kami lebih mengikuti filosofi pasukan senior, dengan apa yang Kim Pan-gon bawa,” ujarnya yang ditemui ketika sesi latihan di Wisma FAM.
”Untuk kami, sebagai pemain, kami kena cuba mengadaptasi secepat mungkin.”
Skuad muda negara kini dalam persiapan bagi mengharungi Piala Asia Bawah 23 tahun di Qatar yang bakal membuka tirai pada 15 April hadapan.
Sebagai persediaan, pasukan bawah 23 tahun negara dijadualkan berdepan India pada 22 Mac dan 25 Mac di ibu negara sebelum menentang China dan Qatar di Doha.
Pada Piala Asia nanti, pasukan negara diundi di dalam kumpulan D bersama-sama finalis edisi 2020 iaitu Uzbekistan dan Vietnam serta Kuwait.