Ketiadaan bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dalam skuad Sukan Sea dianggap sebagai satu kerugian buat pasukan bawah 22 tahun negara.
Perkara itu dilontarkan bekas pemain kebangsaan, Nizaruddin Yusof yang merasakan Arif sememangnya layak berada dalam skuad kendalian E. Elavarasan untuk temasya dwitahunan yang berlangsung di Kemboja tahun ini.
Nizaruddin berpendapat adalah satu kebanggaan buat seorang pemain bola sepak sekiranya mereka dapat menyumbang banyak kaps ketika menyarung jersi kebangsaan.
“Mungkin beliau tak mahu bermain atau tidak dilepaskan kelab, saya rasa merugikan untuk pemain itu sendiri kerana kita boleh bangga sekiranya kita mempunyai kaps skuad kebangsaan yang besar, kita dapat memenangi piala untuk pasukan kebangsaan ataupun memenangi pingat emas sukan SEA.”
Berada di luar daripada kalender FIFA, temasya Sukan SEA itu tidak akan disertai oleh pemain paling bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 dan 2022. Nizaruddin yakin, kemampuan yang dimiliki Arif pastinya mampu menjadi nilai tambah buat kem muda kebangsaan.
“Ya saya rasa merugikan juga untuk skuad kebangsaan kerana kita tahu Arif Aiman sekarang sedang berada dalam prestasi terbaik. Pemain yang boleh membantu banyak untuk pasukan bawah 22 tahun jikalau dia ada di dalam pasukan. Saya rasa ia merugikan,” ujar Nizaruddin di Nadi Arena.
Pada usia 20 tahun, Arif masih tidak mempunyai penampilan dalam temasya Sukan SEA dan juga AFC B-23 tahun. Jika dilihat berdasarkan rekod lepas, pemain muda yang berada dalam kemuncak prestasi awal seperti Safawi Rasid misalnya, turut mempunyai penampilan dalam kejohanan di peringkat bawah 23 tahun.
Skuad kendalian E. Elavarasan akan berlepas ke Kemboja pada 2 Mei dan akan menentang pasukan Laos pada 3 Mei dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan. Diundi dalam saingan Kumpulan B, Malaysia bakal berdepan Thailand pada 6 Mei dan Vietnam pada 8 Mei sebelum mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir Sukan SEA Kemboja 2023.