Pengendali Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz merasakan ketiadaan pemain import Senegal, Jacque Faye tidak akan menjejaskan rentak pasukan itu.
Selepas menyertai skuad Rusa dari PDRM FC pada awal musim ini, Faye sudah merekodkan empat penampilan dalam Liga Malaysia (Liga M). Ini termasuk perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA 2024.
Khidmat beliau terpaksa disisihkan untuk aksi Liga Super menentang Sri Pahang. Ini selepas Faye dibuang padang dalam aksi menentang KL City pada 21 Jun lalu.
Pada awalnya, pemain tengah skuad Rusa itu hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil, S. Logeswaran selepas membuat terjahan keras ke atas Ryan Lambert.
Walau bagaimanapun, kad itu kemudiannya digantikan dengan kad merah. Ini selepas Logeswaran diminta melihat semula insiden itu oleh pegawai sistem bantuan video pengadil (VAR), Amirul Zamil Abdul Jamil.
Azzmi melihat ketiadaan Faye tidak akan menggugat usaha Negeri Sembilan untuk memburu tiga mata pertama di Stadium Temerloh.
Ini kerana beliau percaya beberapa pemain bersedia menggalas peranan yang ditinggalkan bekas pemain The Cops itu.
“Saya tak rasa itu satu isu yang sangat besar untuk saya di sini. Tanpa Jacque Faye, kita ada individu-individu lain yang kita rasa boleh menggalas tugas dengan baik di situ Insya Allah,” katanya dalam temu bual pra-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Selepas tiga perlawanan, Negeri Sembilan berada di tangga tercorot liga tanpa sebarang mata dan kemenangan. Anak buah Azzmi berharap dapat meraih kemenangan pertama bila berdepan Sri Pahang di Temerloh pada 13 Julai ini.