Advertisement
Liga Super: Negeri Sembilan Terus Kempunan Raih Sebarang Mata, Tewas Kepada KL City
Liga Super
MakanBola
KL City – NSFC

Aksi Liga Super hari ini diteruskan membabitkan pertembungan antara pasukan Negeri Sembilan dan KL City. Perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Paroi menyaksikan pasukan tuan rumah gagal mencatat sebarang mata.

Negeri Sembilan turun dengan mempertaruhkan gandingan Jacque Faye, Takumi Sasaki, Htet Aung dan Hadin Azman di bahagian serangan sementara KL City menurunkan Paulo Josue dan Haqimi Azim sebagai penyerang.

Separuh masa pertama menyaksikan pasukan pelawat berjaya menjaringkan satu gol. Gol pembukaan perlawanan berjaya dihasilkan menerusi percubaan pemain tengah pasukan pelawat, Brendan Gan pada minit ke-28 permainan.

Bersambung aksi di babak kedua, ketua pasukan The City Boys, Paulo Josue menambah derita pasukan tuan rumah menerusi percubaan kencang yang menerjah jaring. Hantaran pendek Zhafri Yahya disudahkan Josue dan gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Aqil Razak.

Sebelum aksi tamat pemain gantian KL City, Sharvin berjaya menjaringkan gol kemenangan buat pasukan pelawat selepas menanduk masuk bola hantaran Zhafri Yahya. KL City berjaya mencatat kemenangan bergaya di laman lawan, menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 3-0.

Negeri Sembilan kini telah mencatat tiga kekalahan berturut-turut dalam kempen Liga Super selepas tewas kepada JDT, Selangor dan KL City.

Aksi seterusnya menyaksikan KL City bakal berdepan Selangor pada 14 Julai sementara Negeri Sembilan akan berdepan Sri Pahang pada 13 Julai kelak.