Pemain sayap skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Syahir Bashah mengakui ketiadaan beberapa tonggak utama sedikit sebanyak mempengaruhi persembahan pasukan itu.
Persiapan Harimau Muda ke Piala Asia B-23 2024 sedikit terjejas tanpa kelibat Nooa Laine, Harith Haiqal Adam Afkar, Azam Azmi Murad dan Mukhairi Ajmal.
Ini kerana empat orang pemain ini merupakan sebahagian daripada kontinjen skuad senior negara untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Oman.
Keadaan ini mendorong jurulatih Harimau Muda, Juan Torres Garrido bereksperimen dalam perlawanan persahabatan pertama tertutup menentang India baru-baru ini.
Meskipun mengakui ketiadaan mereka memaksa Harimau Muda beradaptasi, Syahir melihat ini bukan saja peluang buat pemain-pemain lain merebut slot kesebelasan utama.
Malah, ini peluang buat barisan pemain yang diturunkan meraih kepercayaan Garrido dan tampil cemerlang demi negara.
“Ada kesan yang besar juga. Sebab mereka ini merupakan pemain tonggak untuk pasukan B-23 kita.
“Tapi Syahir rasa semua pemain beri yang terbaik (dalam perlawanan menentang India) semalam (dua hari lepas).
“Mereka berhak dapat peluang masing-masing (dalam kesebelasan utama) dan mereka beri yang terbaik,” katanya kepada media pada sesi latihan skuad B-23 kebangsaan semalam.
Malaysia bakal bertemu India sekali lagi untuk aksi persahabatan antarabangsa tertutup di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur esok.