KFA Jawab Dakwaan Berhubung Kes Rasuah RM6 Juta
Komuniti
FA Kedah
Advertisements

Arena bola sepak negara kecoh susulan dakwaan rasuah bernilai RM6 juta membabitkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) baru-baru ini.

Lantas, pada hari ini, Presiden KFA, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil memberi penjelasan tentang tuduhan berkenaan.

Sanusi menjelaskan wang RM5 juta yang disalurkan ke akaun KFA pada 2020 merupakan wang pinjaman dibuat oleh Syarikat Tulangis Sdn. Bhd. Ini merupakan sebahagian daripada usaha awal mereka untuk memiliki saham Darulaman Football Club Sdn. Bhd. (DAFC).

Advertisements

Bagaimanapun, rundingan pemilikan saham membabitkan kedua-dua pihak gagal. Ini selepas KFA mendapati Tulangis sebagai sebuah syarikat bermasalah.

Tulangis kemudiannya cuba mendapatkan kembali RM1.3 juta daripada RM5 juta yang disalurkan kerana mengambil kira kedudukan kewangan KFA ketika itu.

Situasi makin dirumitkan lagi apabila sebuah syarikat konglomerat besar iaitu Berjaya Corporation Berhad mendakwa wang RM5 juta itu sebenarnya milik mereka dan bukan Tulangis.

Advertisements

Walaupun tidak berurusan dengan KFA, Berjaya tetap menuntut wang tersebut daripada KFA. Satu salinan surat turut dihantar kepada KFA sebagai bukti tuntutan.

Wang tersebut diberi oleh Syarikat Berjaya Corporation Berhad kepada Tulangis bagi mendorong kelulusan mengadakan kerjasama untuk melaksana/menyambung konsesi rawatan bekalan air atas nama syarikat lain.

Atas sebab itu, tidak timbul isu pecah amanah atau penyelewengan wang berjumlah RM6 juta seperti yang didakwa. Malah, pihak yang tertipu bukannya KFA tetapi Berjaya.

Advertisements

Sanusi turut mendedahkan Tulangis juga cuba mendapatkan projek pembangunan litar lumba di negeri Kedah tetapi gagal. Ini disebabkan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) mendapati syarikat tersebut tidak memiliki keupayaan untuk merealisasikan projek tersebut.

Dengan mengambil kira semua fakta dinyatakan, kedua-dua syarikat gagal mendapatkan projek yang dinyatakan walaupun telah memberi pinjaman kepada KFA.

Justeru, Sanusi mahu semua tuduhan liar yang dilemparkan kepada KFA terutama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA, Zulkifli Che Haron dihentikan.

Advertisements

Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil oleh KFA bagi melindungi nama baik badan induk bola sepak negeri Kedah itu.

“Memberi sebarang projek-projek berkaitan kerajaan negeri kepada pemiutang atau penyumbang adalah di luar kemampuan dan bukan bidang kuasa KFA.

“Tiada penyalahgunaan, songlap, penyelewengan untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak dalam KFA melainkan sepenuhnya dibelanjakan untuk KFA.

“Dakwaan rasuah ini paling luar biasa di dunia dan boleh dianggap luar tabii. Kes disiasat kerana tidak memberi projek sedangkan kes rasuah biasanya disiasat melibatkan pemberian wang atau pemberian projek.

“Inilah plot yang dimaksudkan iaitu mengada-adakan hal yang tidak ada. Mana-mana pihak yang cuba memberi gambaran bertujuan merosakkan reputasi KFA, Presiden atau Pegawai-Pegawainya berhubung dakwaan rasuah berjumlah RM6 Juta akan berhadapan tindakan undang-undang sesegera yang mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram rasmi KFA.

KFA turut menyelitkan gambar salinan surat membabitkan kedua-dua syarikat dalam kenyataan media mereka hari ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram