Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengingatkan Hannah Yeoh agar lebih proaktif dalam mengetuai kementeriannya ketika ini.
Teguran ini dibuat susulan hasrat Menteri Belia dan Sukan itu untuk meletakkan individu yang tepat dan berkelayakan mengetuai persatuan-persatuan sukan. Ini sebahagian daripada aspirasi beliau sebelum penggalnya menggalas jawatan itu berakhir.
“Salah satu perkara utama yang ingin saya capai sebelum tamat tempoh perkhidmatan saya sebagai Menteri Belia dan Sukan adalah untuk menempatkan individu yang tepat di posisi yang sesuai.
“Bagi mereka yang dipilih oleh ahli badan sukan melalui proses pemilihan sendiri, saya tidak mempunyai kuasa untuk menukar atau menggugurkan mereka.
“Ia dilakukan melalui proses demokratik dan kita harus menghormati proses tersebut. Saya hanya boleh menukar atau menggugurkan mereka yang saya lantik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Kenyataan tersebut mendorong Khairy yang mesra disapa KJ untuk membuat teguran kepada Hannah. Khairy merasakan sebagai menteri, beliau perlu bersifat proaktif dan tidak mencipta pelbagai alasan terhadap masalah yang dihadapinya.
““Menjadi Menteri Belia dan Sukan mestilah seorang yang proaktif dan bukan seorang menteri yang taichi.
“Kalau menteri yang taichi, dia kata ini bukan saya lantik dan ini bukan saya pilih. Majlis Olimpik Malaysia dipilih melalui undian persatuan sukan, jadi saya tak boleh buat apa. Saya rasa kenyataan itu tidak boleh diterima sebab anda (Hannah) seorang menteri,” katanya dalam episod terbaru program audio siar Keluar Sekejap bersama rakan pengacara, Shahril Hamdan.
Khairy juga turut mengingatkan Hannah bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh menggerakkan perubahan dalam badan-badan sukan menerusi peruntukan kementerian.
Ini kerana sebahagian besar peruntukan pelaburan sukan di Malaysia dibiayai melalui pihak kerajaan. Itu dilihat salah satu alat yang patut dimanfaatkan untuk mendorong badan-badan sukan berubah.
“Saya pun baru baca kenyataan menteri hari ini. Dia kata, ‘Oh, saya hanya boleh buat apa yang saya boleh kawal.’ Itu tidak cukup bagus sebab sukan di Malaysia ini ada banyak pemegang taruh.
“Dia ada Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia yang memang bebas tetapi mereka bergantung kepada KBS sebab sebahagian peruntukan pelaburan sukan di Malaysia dibiayai oleh kerajaan. Itu kelebihan anda,” tambahnya.
Khairy menggalas peranan sebagai Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018. Selain itu, beliau juga pernah menggalas peranan sebagai Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.