Pendapatan tinggi DBKL mencecah RM2.38 Bilion membuatkan harapan untuk melihat dana itu disalurkan kepada KL City namun kini masih tertangguh.
Perkara ini dijelaskan oleh Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad ketika ditemui media di Kuala Lumpur.
Katanya, pemain KL City masih tidak menerima gaji sungguhpun telah menewaskan Selangor dengan keputusan 1-0 di Stadium Cheras.
Khalid memberitahu bahawa pendapatan tinggi yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencecah RM2.4 Bilion setahun berdasarkan laporan kewangan yang dikeluarkan.
“Pendapatan DBKL pada tahun 2023 RM2.38 Bilion. Pendapatan ini diperoleh dari rakyat di KL termasuklah pembangunan, kalau 0.5 peratus diketepikan untuk KL City, nilai itu bersamaan RM11.9 Juta. Itu hanya 0.5 peratus sahaja.
“Dalam RM650 Juta digunakan untuk perbelanjaan pembangunan, sekiranya 0.5 peratus disumbangkan oleh kontraktor terlibat, itu juga mencecah RM3.25 Juta. Ia bakal menjadikan angka itu kepada RM14.35 Juta.
“Ini sudah pasti dapat mengelakkan segala masalah tunggakan gaji yang dialami ketika ini,” jelasnya ketika ditemui.
Beliau juga berharap agar pihak berkepentingan dalam kelab dapat melakukan yang terbaik untuk melangsaikan tunggakan gaji pemain dan staf KL City.
Khalid juga memaklumkan bahawa terdapat usaha untuk membawa perubahan dalam tampuk kepimpinan KL termasuklah Setiausaha Agung dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan.
Sebelum ini, Khalid Samad sudah pun tampil bertemu media untuk menjelaskan situasi tunggakan gaji KL City termasuklah melibatkan kapten pasukan, Paulo Josue.