Kapten pasukan KL City, Paulo Josue mengakui tidak berminat untuk menerima tawaran kelab lain dan hatinya masih bersama pasukan.
Beliau lega apabila berjaya membantu The City Boys untuk meraih 3 mata penting menentang Selangor FC di laman sendiri dengan keputusan 1-0.
Pemain berusia 36 tahun itu mengakui hatinya masih bersama KL City dengan kontraknya masih berbaki dua tahun lagi bersama pasukan.
“Saya sudah bercakap dengan Stanley beberapa kali bahawa saya tidak mahu meninggalkan negara ini (Malaysia) dan pasukan untuk ke kelab lain.
“Pada saya, saya melihat perkara ini boleh selesai dan saya mahu melihat kelab untuk menunjukkan komitmen. Saya masih memiliki baki kontrak selama sua tahun dan saya memahami sekiranya kelab berdepan sedikit masalah.
“Sudah tentu saya mahu gaji saya tepat pada masanya namun jika kelab memiliki kekangan, mereka boleh pecahkan bayaran kepada beberapa bahagian,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun risau dengan rakan sepasukan yang mungkin memikirkan untuk mengangkat kaki susulan isu yang melanda ketika ini.
“Saya cuma risaukan pemain lain dengan isu gaji ini dan berpindah ke kelab lain dengan keadaan semasa,” jelasnya selepas perlawanan di Cheras.
KL City kini naik ke tangga keempat Liga Super dengan 7 mata selepas 4 perlawanan setakat ini.