Naib juara Piala FA 2023, KL City mempamerkan perjuangan hebat untuk memberikan kekalahan kepada Selangor FC dengan keputusan 1-0.
Pasukan bimbingan Miroslav Kuljanac menurunkan kesebelasan terbaik untuk mengekang kehadiran The Red Giants.
Usaha itu bagaimanapun dikejutkan dengan serangan awal Selangor menerusi bahagian sayap namun penyudah Alvin Fortes berjaya diselamatkan Azri Ghani.
KL City hampir memperoleh jaringan pertama menerusi sepakan penjuru namun tandukan dalam kotak penalti berjaya dikeluarkan atas garisan oleh Sam Somerville.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-0.
Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan dan hampir berada di depan menerusi percubaan Haqimi Azim namun berjaya dihalang oleh pertahanan lawan.
Selangor melakukan beberapa pertukaran pada bahagian serangan namun tersentak dengan jaringan pemain sayap KL City, Jovan Motika pada minit ke-63.
Beliau berjaya memecah kebuntuan menerusi larian pantas pada bahagian kiri padang sebelum melepaskan rembatan menewaskan Sam Somerville.
Tambahan masa 4 minit tidak cukup untuk mengubah keputusan perlawanan sekaligus memberikan kekalahan kedua kepada Selangor dalam aksi Liga Super.
KL City melonjak ke tangga ke-4 dengan 7 mata manakala Selangor kekal di tangga kedua dengan 9 mata selepas 5 perlawanan.