Bek tengah Cape Verde, Yuran Fernandes mengakui ada menerima tawaran untuk beraksi di Liga Super.
Perkara itu didedahkan pemain pertahanan PSM Makassar itu selepas aksi persahabatan antara Malaysia dan Cape Verde baru-baru ini.
Fernandes mengakui ada mengadakan perbincangan dengan beberapa kelab Liga Super. Pada masa sama, beliau memilih untuk kekal beraksi di Indonesia.
Ini kerana Fernandes ingin menghormati baki kontraknya bersama Juku Eja. Beliau masih memiliki kontrak sehingga Mei 2026.
“Saya mempunyai beberapa perbualan (dengan kelab Liga Super) tetapi saya tidak boleh mengatakan perkara yang sama. Saya masih mempunyai kontrak dengan pasukan saya di Indonesia,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Selain itu, beliau juga dapat beraksi di Indonesia pada musim depan. Ini selepas hukuman penggantungannya dikurangkan daripada 12 bulan kepada tiga bulan.
“Saya akan bermain di Indonesia kerana sekarang hukuman saya dikurangkan kepada tiga bulan. Jadi pada Ogos nanti, saya akan bermain dengan pasukan saya lagi.
“Sekarang, saya hanya mahu beraksi di Indonesia,” tambahnya lagi.
Sejak menyertai Juku Eja pada 2022, beliau sudah merekodkan 107 penampilan, 16 gol dan lapan bantuan gol.