Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon berpuas hati dengan persembahan yang diperagakan oleh anak buahnya selepas mencatat kemenangan dramatik berdepan Kyrgyzstan.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu membimbing pasukan untuk membenam cabaran pasukan ke-96 dunia, Kyrgyzstan menerusi satu kebangkitan dramatik pada saat akhir.
“Hari ini para pemain menunjukkan karakter sebenar pasukan. Inilah Harimau Malaya. Sungguhpun kami berdepan aksi sukar seperti ini dan saya tidak suka aksi seperti ini, saya tetap berbangga dengan persembahan pasukan.”
“Kami ada permulaan yang baik, menjaringkan gol dan mengawal permainan dengan baik. Kemudian saya lihat ada beberapa perkara seperti terlalu yakin setelah mendahului.”
“Ini perlawanan yang menakjubkan. Saya boleh membantu pemain dalam persiapan tetapi di atas padang keputusan mereka untuk bertindak.”
Para pemain berjaya mempamerkan kebangkitan dan mengawal diri sambil Pan-gon berbangga dengan aksi yang ditampilkan oleh anak buahnya.
“Saya sangat berbangga dengan aksi pasukan pada malam ini dan para pemain menunjukkan bahawa inilah tahap pemain Malaysia yang sebenar,” jelasnya pada sesi sidang media tadi.
Malaysia akan berdepan aksi kedua menentang Taiwan pada 21 November 2023 di gelanggang lawan.
Kemenangan ini membantu Malaysia untuk memperoleh tambahan +15.49 mata FIFA dan melonjak ke tangga 130 dunia.