Bekas Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon menjelaskan maksud bahaya yang cuba disampaikannya ketika sesi sidang media baru-baru ini.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu akhirnya meletakkan jawatan selepas dua tahun 6 bulan bersama Harimau Malaya.
Ucapannya ketika sesi perpisahan baru-baru ini mengundang tanda tanya selepas beliau memaklumkan sukar untuk menjelaskan beberapa perkara kerana bahaya.
Situasi ini menimbulkan pelbagai tanda tanya selepas beliau mengeluarkan kenyataan tersebut dan meminta semua pihak tidak bertanya kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Saya bercakap dengan Datuk Presiden setiap perkara. Saya tidak boleh bercakap dengan anda. Di sini, sangat bahaya. Dia tahu semua butirannya.”
“Fina Nasrom (Wartawan), lebih baik jangan persoalkan yang ini, okay? Lebih baik awak jangan tanya pada Datuk Presiden,” jelasnya.
Namun begitu, menerusi satu hantaran oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang kurang baik menyebabkan salah faham ini timbul.
“Ia lebih berkaitan taktikal dan pembangunan pasukan, tak sesuai didedahkan. Saya tak pernah rasa tak selamat di Malaysia.
“Mungkin kerana penguasaan bahasa Inggeris kurang baik salah faham terjadi,” ujar Kim Pan Gon tentang maksud bahaya.
Kim Pan-gon kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Korea, Ulsan HD bagi menggantikan pengendalinya yang kini dilantik sebagai Ketua Jurulatih Korea Selatan.