Bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon bakal memeriahkan saingan K-League 1 musim 2024.
Sebelum ini, Pan-gon mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia.
Pengendali Korea Selatan berusia 55 tahun itu berbuat demikian atas komitmen peribadi. Pengumuman ini dibuat oleh FAM dalam satu sidang media khas yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Susulan itu, jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya akan dipangku penolong jurulatih, Pau Marti Vicente. Pau Marti bakal dibantu staf-staf kejurulatihan lain termasuk penolong jurulatih, E. Elavarasan.
Kini, wartawan Astro Arena, Fina Nasrom melaporkan khidmat bekas jurulatih Hong Kong itu diintai juara K-League 1 musim 2023, Ulsan HD.
Kelab yang diberi jolokan The Tigers itu berharap dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan jurulatih sebelumnya, Hong Myung-bo. Myung-bo meninggalkan Ulsan selepas bersetuju menjadi pengendali baru Korea Selatan.
Sentuhan legenda Korea Selatan itu membantu The Tigers bergelar juara K-League 1 dua kali berturut-turut iaitu 2022 dan 2023.
“Ulsan HD FC punca Kim Pan Gon tinggalkan Harimau Malaya? Difahamkan pengendali ini bakal kembali ke bekas pasukannya selepas 28 tahun, setelah menerima tawaran sebagai pengendali juara K-League itu,” katanya di X.
Sejak dilatih Pan-gon pada awal tahun 2022, Malaysia telah merekodkan 20 kemenangan, lima keputusan seri dan 10 kekalahan.
Kualiti jentera serangan negara turut menunjukkan peningkatan apabila berupaya menjaringkan 79 gol. Sementara barisan pertahanan negara pula memastikan gawang negara hanya dibolosi 47 kali.