Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon telah meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu telah membuat keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan selepas dua tahun enam bulan menjadi jurulatih pasukan.
Perkara ini telah dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu sesi sidang media yang diadakan di Wisma FAM hari ini.
Kim Pan-gon dalam satu kenyataan memberitahu bahawa beliau sangat sedih untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih Harimau Malaya.
“Kepada penyokong bola sepak Malaysia, hari ini saya ada mesej yang sedih kepada semua. Saya telah memilih untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Malaysia atas sebab peribadi.
“Saya minta maaf atas kedukaan ini dan memberi kesan kepada semua. Sejak saya hadir pada tahun 2022, rakyat Malaysia memberikan saya pengalaman yang indah kepada saya.
“Pada Jun 2022, kita berkongsi kenangan manis apabila Harimau Malaya layak ke Piala Asia sejak 43 tahun. Kita juga melonjak ke kelompok 130 terbaik dunia,” ujarnya.
Sebagai rekod, Kim Pan-gon telah melakukan tugasan cemerlang apabila mengemudi Malaysia pada aksi Piala Asia 2023 dan juga Kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini.
Malaysia telah merekodkan 20 kemenangan, 5 keputusan seri dan 10 kekalahan dalam tempoh dua tahun sejak dikendalikan oleh bekas jurulatih Hong-Kong ini.
Kualiti jentera serangan negara juga meningkat apabila berupaya menjaringkan 79 gol dan hanya bolos 47 jaringan sahaja.
Kemenangan terbesar pasukan kebangsaan adalah ketika menentang Solomon Islands di Terengganu dengan keputusan 10-0 manakala kekalahan terbesar di tangan Jordan 4-0 ketika beraksi di Piala Asia 2023.